Jika Benar Azmin Tak Perlu Bersembunyi Kata Annuar

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali digesa untuk menyahut cabaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menamakan menteri kanan kerajaan yang didakwanya meletak jawatan.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, sekiranya benar seperti yang didakwa, Azmin perlu mendedahkannya tanpa perlu bersembunyi.

“PM sendiri sudah mengeluarkan kenyataan dan Azmin patut terima cabaran PM dengan menamakan siapa menteri kanan berkenaan.

“Perkara ini tidak sepatutnya diputar belit sekiranya benar seperti yang didakwanya kerana sekarang sudah timbul sama ada orang itu atau orang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kali ke-39 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Saadong, hari ini.

Mohamad Azmin Ali melalui status Twitternya semalam bermain teka-teki berhubung kedudukan seorang menteri kanan kerajaan yang didakwanya meletak jawatan.

Kata Mohamad Azmin, Menteri terbabit melepaskan jawatannya kerana tidak mahu mahu bersubahat dalam isu 1Malaysia Developement Bhd. (1MDB).

Bagaimanapun melalui status Twitter tersebut, Mohamad Azmin tidak menyatakan secara jelas menteri berkenaan, sebaliknya sekadar melontarkan pertanyaan.

Dalam pada itu, Annuar berkata, pihaknya berharap agar rakyat tidak mudah percaya dengan berita yang tidak berasas ini.

“Dalam soal kabinet, sepatutnya orang yang berada dalam kerajaan lebih tahu. Tapi sekarang kenapa pula pembangkang yang lebih tahu dan sebarkan,” katanya.

Tambah beliau, tidak timbul dakwaan seperti yang cuba digembar-gemburkan kerana kerajaan mempunyi barisan kabinet yang begitu kuat serta berkomitmen tinggi.

“Kita faham ini adalah salah satu strategi untuk menimbulkan keraguan seolah-olah ada ketidakstabilan dalaman.

“Sedangkan kita mempunyai saf kepimpinan serta Majlis Tertinggi yang sentiasa memberi sokongan padu,” katanya. – 11 Februari 2017.