‘Jom Masuk IPT’ Sebar Maklumat Peluang Pendidikan Tinggi

Orang ramai, khususnya golongan belia dijemput beramai-ramai menghadiri Karnival Pendidikan Tinggi Negara ‘Jom Masuk IPT’ (KPT2017) yang berlangsung di pekarangan pusat beli belah Aeon Mall, di Kota Bharu.

Program anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, program ‘signature’ kementerian itu diadakan di enam zon utama iaitu Kelantan, Perlis, Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak serta satu zon mini di Negeri Sembilan.

“Program itu bertujuan menyebar maklumat mengenai peluang pendidikan tinggi dalam negara secara meluas selain mempromosi kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi sesi akademik 2017/2018 dengan sasaran 350,000 pengunjung,” katanya.

Program tersebut bermula di Kelantan sebelum diteruskan di Dewan Ilmu Kampus Unimap Pauh Utara, Perlis pada 18 dan 19 Februari diikuti Kampus UTHM Batu Pahat, Johor (25 dan 26 Februari) dan Kampus Induk USM, Pulau Pinang (4 dan 5 Mac).

Program sama diteruskan di One Borneo Hypermall, Kota Kinabalu, Sabah pada 11 dan 12 Mac diikuti CityOne Megamall, Kuching, Sarawak pada 18 dan 19 Mac dan berakhir di Dewan Tuanku Canselor USIM, Negeri Sembilan (25 dan 26 Mac).

Permohonan kemasukan pelajar ke universiti awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Latihan Kemahiran Awam dibuka pada 6 Februari sehingga 31 Mac depan melalui sistem UPUOnline di URL http://upu.mohe,gov.my. – 11 Februari 2017.