Kebenaran Pastinya Akan Muncul – Annuar

Tan Sri Annuar Musa yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yakin kebenaran pastinya akan muncul selepas ini.

Dalam masa sama, Ketua Penerangan UMNO itu juga berharap siasatan yang dijalankan terhadapnya akan selesai secepat mungkin seterusnya memberi perkhabaran menggembirakan.

Katanya, siasatan kini berjalan dengan rancaknya dan beliau difahamkan pegawai-pegawai Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) di Kota Bharu juga telah diambil keterangan oleh SPRM.

“Setakat ini, kita telah berikan kerjasama yang sebaik mungkin dan saya berharap semua pihak terbabit memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya.

Baru-baru ini, Annuar telah memberikan segala maklumat bagi membantu siasatan SPRM membabitkan isu penajaan Pelaburan Mara Bhd. (PMB) serta Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).

Terdahulu Annuar meminta seluruh penyokongnya agar bertenang dan memberi masa kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

“Insya-Allah kebenaran akhirnya akan muncul nanti. Saya yakin perancangan Allah itu akan sentiasa baik. Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan, ” katanya.
– 11 Februari 2017.