Presiden FAM: Annuar Sedia Berhadapan TMJ?

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa akan meneruskan hasrat untuk bertanding merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada bulan depan.

Dalam masa sama, beliau juga tidak menolak kemungkinan sedia berhadapan dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi merebut kerusi yang bakal ditinggalkan oleh Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah itu.

Seterusnya Annuar berharap pertandingan itu nanti akan dapat berlangsung dalam keadaan penuh harmoni.

“Saya tidak akan melakukan kempen, tidak ada kumpulan-kumpulan tertentu dan tidak akan guna pendekatan lobi melobi dalam merebut jawatan presiden itu nanti.

“Biarlah proses demokrasi itu dapat diamalkan dalam pertandingan nanti.
Kalau sekarang kita bercakap soal integriti, bersih, biarlah dimulakan semasa proses pemilihan.

“Saya juga tidak akan menyentuh soal sesiapa pun individu yang bertanding. Saya cuma bawak diri saya sahaja,” katanya semasa ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa.

Baru-baru ini, Tunku Ismail menyatakan kesediaannya untuk bertanding jawatan No. 1 FAM itu setelah mendapat restu daripada ayahanda beliau, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Manakala Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin masih menunggu TMJ mengesahkan status pencalonannya untuk pertandingan jawatan tersebut sebelum beliau membuat keputusan untuk turut bertanding atau tidak.

Annuar sebelum ini pernah menyatakan sekiranya Tunku Ismail bersetuju untuk bertanding jawatan presiden, maka beliau sedia berundur bagi memberi laluan kepada pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu. – 11 Februari 2017.