PTPTN Tiada Masalah Kewangan

Kementerian Pendidikan Tinggi menafikan masalah kewangan menjadi punca Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) lewat membuat bayaran kepada pelajar di 11 universiti awam (UA).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh menegaskan, kelewatan tersebut adalah disebabkan masalah komunikasi antara PTPTN dengan pihak univerisiti dan tidak ada kena mengena dengan masalah kewangan.

“Saya sudah dapatkan penjelasan daripada Ketua Eksekutif PTPTN. Sebenarnya kelewatan itu adalah disebabkan masalah dari segi komunikasi berkaitan maklumat, bukan kerana PTPTN tidak ada duit mahu bayar pelajar,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan Tinggi Negara ‘Jom Masuk IPT’ 2017 yang bermula secara rasmi hari ini di lokasi pertama, iaitu di pekarangan pusat beli belah Aeon Mall, di Kota Bharu.

Ribuan peminjam di 11 universiti awam dilaporkan terjejas kerana belum menerima bayaran PTPTN yang sepatutnya diterima mereka sekitar Januari.

Menurut PTPTN, kelewatan itu kerana pihaknya belum menerima senarai pengesahan status pengajian pelajar daripada pengurusan universiti masing-masing.

Mengulas lanjut, Idris berkata, tuduhan PTPTN berdepan masalah kewangan tidak berasas kerana pada tahun lalu, agensi tersebut berjaya mengutip semula pinjaman sebanyak RM3.4 bilion, jauh melebihi sasaran awal RM2 bilion. – 11 Februari 2017.