PAS Akan Kaji Semula Hubungan Dengan PKR

PAS akan mengkaji semula hubungan dan kerjasama dengan PKR sama ada akan diteruskan atau sebaliknya pada muktamar parti itu, April ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia kerana parti itu masih menjalinkan hubungan dengan DAP yang jelas menolak dasar Islam diperjuang PAS.

“Dengan PKR pun kita akan buat keputusan masa muktamar ini,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita berhubung tempoh sebulan yang ditetapkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, sama ada PAS mahu menyertai pakatan pembangkang atau tidak.

Beliau berkata, PPBM tidak perlu memberi tempoh itu untuk berbuat demikian kerana parti itu telah ada kerjasama dengan DAP dan PAN.

“Tidak perlu tunggu sebulan sebab mereka sudah ada hubungan dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN)”.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Marang itu berkata, bagaimanapun kerjasama PAS dengan PPBM masih terbuka, terutama berkaitan perkara yang membawa kebaikan kepada ummah dan Islam. – 12 Februari 2017.