PAS Bertegas Tidak Akan Sertai Pakatan Harapan

PAS terus bertegas tidak akan menyertai Pakatan Harapan selagi gabungan pembangkang itu disertai DAP dan PAN.

Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, parti itu tidak memerlukan masa sebulan untuk menyertai pakatan itu sebagaimana ditetapkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr. Mahathir Mohamad, semalam.

Kenyataan Mohd. Amar itu hampir senada dengan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kami sudah membuat keputusan tidak akan bersama-sama (parti pembangkang lain) dengan Pakatan Harapan dan ini bukan macam teka silangkata yang mempunyai tempoh tertentu,” kata Timbalan Menteri Besar Kelantan itu kepada pemberita hari ini.

Terdahulu Abdul Hadi berkata, PPBM tidak perlu memberi tempoh itu untuk berbuat demikian kerana parti itu telah ada kerjasama dengan DAP dan PAN.

“Tidak perlu tunggu sebulan sebab mereka sudah ada hubungan dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN),” kata Abdul Hadi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu PAS juga akan mengkaji semula hubungan dan kerjasama dengan PKR sama ada akan diteruskan atau sebaliknya pada muktamar parti itu, April ini.

Katanya, ia kerana parti itu masih menjalinkan hubungan dengan DAP yang jelas menolak dasar Islam diperjuangkan PAS.

Sementara itu, Pemuda PAS Kelantan menyambut baik keputusan pimpinan mereka untuk mengkaji semula hubungan parti itu dengan PKR.
Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia perlu memandangkan PKR bekerjasama dengan musuh PAS iaitu PAN dan DAP.

“Pemantauan berterusan kepada tindak tanduk PKR amat perlu memandangkan hubungan mereka dengan PAN dan DAP

.

“Kita sambut baik dan akan menerima apa sahaja keputusan dicapai pada muktamar nanti,” katanya. – 12 Februari 2017.