Setakat Ini Cuma ‘Mat Tere’ Macam Menyokong Saya – Annuar

Tan Sri Annuar Musa menganggap beliau sekadar pelengkap demokrasi FAM bagi pertandingan dalam merebut jawatan nombor 1 badan induk bola sepak negara itu.

Menulis di laman sosial Facebooknya, Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) itu berkata, soal siapa yang akan menjadi lawannya tidak harus ditimbulkan kerana semua tahu jawatan itu bakal dipertandingkan jika ada pencalonan.

“Saya dikira ada dua undi saja, saya pula tiada negeri di bawah perintah saya, tidak memiliki pasukan, tiada sebarang jawatan dalam mana-mana badan gabungan FAM.

“Saya juga tiada sumber untuk menukar impian seseorang kepada realiti. Saya juga orang ‘gagal’, saya juga orang yang sudah di “cah keting” sebelum wisel ditiupkan dan sudah direhatkan luar padang.

“Kalau saya sudah ada 14 daripada 20 badan gabungan yang memeterai ikrar mungkinlah saya boleh dianggap mencabar. Tapi setakat ini cuma Mat Terre (penyokong Kelantan) yang ke depan macam menyokong saya. Itu pun kita tidak tahu apa jadi pada beliau,” katanya.

Justeru, Annuar meminta pihak berkenaan supaya jangan terlalu risau mengenai pencalonannya.

“Jadi, usah dirisaukan kedudukan saya sebagai calon Presiden FAM. Anggap ia pelengkap kepada proses demokrasi dalam FAM.

“Dengan satu pencalonan saja sudah pasti saya bukan calon yang layak mencabar sesiapa,” katanya.

Setakat semalam, Annuar kekal sebagai calon tunggal mengesahkan bertanding, manakala Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sudah mendapat restu ayahandanya masih belum berbuat demikian.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat yang turut mendapat pencalonan juga masih berteka teki.

Dalam pada itu, Annuar mengesahkan akan mengumumkan pelan transformasi FAM jika terpilih nanti. – 12 Februari 2017.