SPRM Kumpul Bukti Siasat Penjawat Awam Main Golf Luar Negara

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti beberapa penjawat awam yang masih berdegil bermain golf di luar negara dengan tajaan orang berkepentingan walaupun amaran mengenainya telah dikeluarkan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, suruhanjaya itu sedang menjalankan siasatan dan proses mengumpul bukti sebelum tindakan diambil ke atas mereka terbabit.

“Mereka ini (penjawat awam) dipercayai masih berdegil dan tidak memandang serius amaran yang dikeluarkan sebelum ini supaya berhenti bermain golf di luar negara dengan tajaan orang berkepentingan,” katanya kepada Agensi Berita Nasional.

Katanya, SPRM tidak menghalang penjawat awam bermain golf namun ia menjadi isu apabila mereka ditaja pihak seperti kontraktor dan pembekal serta melibatkan rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau menegaskan, selepas ini SPRM tidak akan mengeluarkan amaran yang sama tetapi mengingatkan agar mereka terbabit lebih berwaspada dengan perbuatan sendiri.

Azam berkata, SPRM memandang serius perkara itu, malah telah mengambil tindakan terhadap beberapa individu sebelum ini kerana didapati sering ke luar negara untuk bermain golf dengan orang berkepentingan.

“Apa yang pasti tindakan tegas menanti mereka yang degil dan mungkin berfikir nama mereka tidak terdapat dalam senarai SPRM,” katanya.

Menurutnya, individu-individu terbabit bukan sahaja ditaja kos perjalanan malah perbelanjaan untuk membeli-belah. – 12 Februari 2017.