TMJ Titah Bebaskan ‘Mat Tere’

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitahkan ‘Mat Tere’, individu yang ditahan kerana didakwa memuat naik video yang mengeluarkan perkataan jelik terhadapnya dibebaskan dan dihantar pulang ke Kelantan.

Tunku Ismail hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Bahru hari ini bagi membebaskan ‘Mat Tere’ yang sepatutnya dilanjutkan tahanan reman.

Mat Tere atau nama sebenarnya Muhammad Zul Apis Baharum, 29, ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kelantan Rabu lalu bagi membantu siasatan berhubung video kata-kata kesat menghina Tunku Ismail yang menjadi tular di Facebook sebelum ini.

Tunku Ismail percaya Mat Tere tidak bersalah dan telah dijadikan mangsa oleh individu di pihak atasan untuk agenda politik.

Dalam pada itu, baginda mengucapkan syabas kepada kerajaan negeri Kelantan yang telah menjaga rakyat mereka dengan baik dan berjaga-jaga dengan individu yang ada niat untuk memecahbelahkan rakyat. – 12 Februari 2017.