Warga Pendidik Harus Faham Langkah Berjimat Kerajaan

Masyarakat, terutama warga pendidik harus faham mengenai penjimatan dalam perbelanjaan yang dibuat membabitkan program pendidikan.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPN), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sejak tahun lalu negara berdepan keadaan ekonomi yang tidak menentu menyebabkan perbelanjaan secara berhemah perlu dilakukan.

“Kita harus sedar dalam hidup ini ada pasang surut dan semua negara menghadapi cabaran yang sama (ekonomi tidak menentu).

“Kita perlu menjimatkan perbelanjaan untuk pastikan defisit yang kita sasarkan adalah 3.1 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya dalam sidang akhbar di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Tunjong, Kelantan hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Jaafar Ismail; Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat dan pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Mohd. Rosdi Abdul Aziz.

Mustapa berkata, penerangan berhubung keadaan semasa ekonomi juga perlu diperjelaskan supaya masyarakat tidak mudah menyebar maklumat yang tidak betul, sehingga menjejaskan imej negara.

“Meskipun berdepan keadaan ekonomi yang tidak menentu, peruntukan membabitkan persekolahan yang lain seperti Rancangan Makanan Tambahan Sekolah (RMTS), subsidi untuk asrama desa serta Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) masih diteruskan,” katanya. – 12 Februari 2017.