Keluar Parti Bukti Kelemahan DAP

Tindakan beberapa pemimpin utama DAP Melaka yang keluar parti membuktikan kegagalan dan kelemahan barisan pembangkang.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia juga menunjukkan kekecewaan mereka terhadap kepimpinan DAP sekarang ini.

“Dulu DAP yang menghentam Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anuar Ibrahim habis-habisan, namun sekarang mereka dilihat berbaik-baik dengan pemimpin tersebut.

“Ini jelas menunjukkan DAP sudah menyimpang dari dasar yang diperjuangkan sebelum ini. Tindakan keluar parti ini ada kaitan dengan kekecewaan mereka terhadap kepimpinan DAP,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kali ke-43 Sekolah Kebangsaan Labok, Machang semalam.

Empat pemimpin DAP negeri termasuk Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him mengumumkan keluar daripada parti itu semalam.

Tiga lagi yang turut bertindak demikian ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Goh Leong San; ADUN Bachang, Lim Jack Wong dan ADUN Kesidang, Chin Choong Seong.

Tong Him dalam sidang akhbar ketika mengumumkan keputusan itu memberitahu, mereka berbuat demikian kerana telah hilang kepercayaan kepada parti dan kecewa dengan kepimpinan DAP sedia ada.

Mustapa berkata, berdasarkan pergolakan yang berlaku dalam DAP ini, pihaknya yakin lebih ramai lagi ahli-ahli yang akan turut keluar dari parti itu.

“Dari perkembangan ini, saya yakin ramai lagi ahli DAP yang akan ikut langkah ini (keluar parti).

“Walau bagaimanapun, tindakan keluar parti ini bukan bermakna Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang yang lebih cerah kerana mereka boleh berpaling tadah,” katanya.

Tambah beliau, ahli-ahli BN perlu bekerja kuat dan jadikan pergolakan DAP sebagai satu peringatan.