Mat Tere Teruja, Terima Kasih TMJ

Mat Tere yang tiba di rumahnya pukul 8 pagi tadi selepas dibebaskan berikutan rakaman video yang menghina Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada kerabat Diraja itu.

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dendang Ketereh hari ini, dia melahirkan rasa syukur selamat sampai ke rumahnya selepas dibebaskan malam tadi.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada TMJ kerana banyak menolong saya ketika berada dalam tahanan dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.

“Kepada si perakam video, saya harap jangan lagi lakukan perkara seperti ini kepada saya mahupun orang lain,” katanya.

Mat Tere atau nama sebenarnya Muhammad Zul Apis Baharum, 29, ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kelantan Rabu lalu bagi membantu siasatan berhubung video kata-kata kesat menghina Tunku Ismail yang menjadi tular di Facebook sebelum ini.

Dalam pada itu, dia meluahkan rasa teruja dapat berjumpa dengan TMJ dan berpeluang untuk bersalaman serta makan bersama di istana di Johor Bahru sebelum pulang ke Kelantan.

“TMJ juga memberikan RM5,000 kepada saya dan keluarga… semua jasa TMJ tidak akan saya lupakan,” katanya.

Semalam, Tunku Ismail hadir ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor menitahkan supaya Mat Tere dibebaskan.

Menurut kenyataan Polis Diraja Johor (PDRM) Johor, Mat Tere yang berasal dari Kelantan dipercayai diperalatkan oleh pihak tertentu yang sengaja mahu mencetuskan suasana tidak harmoni.

Menurut laman Facebook Johor Southern Tigers, Mat Tere dibawa pulang ke kampungnya dengan menaiki kenderaan yang telah disediakan oleh pihak Istana Johor bagi memastikan beliau sampai ke negeri Kelantan dengan selamat. – 13 Februari 2017.