Orang Parlimen Ketereh Berterima Kasih Kepada Istana Johor

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Istana Johor kerana memaafkan Mat Tere di atas keterlanjuran atau kelurusannya.

“Kita Orang Parlimen Ketereh (OPT) dan sahabat-sahabat Mat Tere berterima kasih pada Istana Johor yang telah bersusah payah menghantar Mat Tere balik ke Kelantan,” kata Annuar Musa.

Mat tere atau nama sebenarnya Muhammad Zul Apis Baharum, 29, ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kelantan Rabu lalu bagi membantu siasatan berhubung video kata-kata kesat menghina Tunku Ismail yang menjadi tular di Facebook sebelum ini.

Semalam, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hadir ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor menitahkan supaya Mat Tere dibebaskan.

Menurut kenyataan Polis Diraja Johor (PDRM) Johor, Mat Tere yang berasal dari Kelantan dipercayai diperalatkan oleh pihak tertentu yang sengaja mahu mencetuskan suasana tidak harmoni.

Dalam perkembangan berkaitan Annuar mengingatkan pihak yang merakam dan menularkan video terbabit agar menginsafi perbuatan tersebut dan tidak lagi mempermainkan perkara sedemikian.

Katanya, tindakan memfitnah atau menyakiti orang lain dengan sengaja adalah salah.

“Jika terbuat sedemikian, maka kita memohon maaf atau sekurang-kurangnya berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh,” katanya.

Menurut laman Facebook Johor Southern Tigers, Mat Tere dibawa pulang dengan menaiki kenderaan yang telah disediakan oleh pihak Istana Johor bagi memastikan beliau sampai ke negeri Kelantan dengan selamat.