Pasar Baharu Pasir Puteh Tidak Menepati Keperluan Peniaga, Pengguna

Pasar baharu Pasir Puteh dikatakan tidak menepati spesifikasi kerana saiznya terlalu kecil berbanding pasar lama sekali gus bertentangan dengan keperluan peniaga.

Exco Angkatan Muda Keadilan, Wan Ji Wan Hussin berkata, binaan yang bercanggah dengan keperluan peniaga dan pengguna adalah bertentangan dengan prinsip semua agama.

“Kalau agama Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain mengajar supaya kezaliman dalam bentuk apapun ditentang, tak kan Islam yang kita kata lebih tinggi dari agama-agama lain mendiamkan diri terhadap perkara aniaya seperti ini,” katanya ketika berucap di majlis Dialog Sinergi anjuran pemuda PAN Kelantan, di Salor, malam tadi.

Majlis itu diadakan bagi membincang isu semasa yang sedang hangat diperkatakan di Kelantan mutakhir ini.

Wan Ji berkata, tujuan kewujudan kerajaan dan pengurusan politik ialah untuk melakukan islah dari sesuatu yang kurang baik kepada yang lebih baik.

“Adalah pelik apabila kita mendengar para peniaga yang disediakan dengan prasarana pasar baharu tiba-tiba kecoh kerana pasar lama lebih baik berbanding pasar baharu itu.

“Perkara seperti ini tentulah tidak menunjukkan perubahan ke arah yang lebih baik oleh kerajaan yang mendakwa membangun bersama Islam,” katanya.

Sebelum ini kerajaan PAS Kelantan dan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) disifatkan telah menganiaya kira-kira 500 peniaga selepas mengarahkan mereka berpindah ke pasar baharu yang didakwa terlalu kecil selain kadar sewa yang dikenakan lebih tinggi berbanding di tempat lama.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Zulkifle Ali, peniaga tidak berpuas hati kerana ruang perniagaan baharu tidak munasabah dan terlalu sempit sekali gus menyukarkan peniaga untuk meletak barang-barang perniagaan.

Jelasnya, keadaan di pasar baharu juga tidak memberi keselesaan kepada para peniaga kerana struktur pembinaan pasar hanya mempunyai satu pintu masuk sahaja, yang mana akan menyukar peniaga dan pengguna untuk keluar dan masuk ke pasar berkenaan. – 13 Februari 2017.