Rasuah: Dua Anggota Polis Dipenjara, Denda RM30,000

Dua anggota polis dipenjara dua tahun dan denda RM30,000 selepas didapati bersalah cuba menerima suapan berkaitan kes memiliki kereta seludup di Klang, lima tahun lalu.

Hakim Asmadi Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Lans Koperal Joe Stephen, 31, dan Konstabel Mohd. Farid Che Aziz, 33, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa cuba menerima suapan RM6,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan tidak mengambil tindakan bagi kesalahan dikehendaki polis serta memiliki kereta seludup.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohammed Heikal Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam V Rajehgopal. – 13 Februari 2017.