Burger Percuma Rai Kepulangan ‘Mat Tere’

Restoran KB Burger Bakar di Jalan Kuala Krai dibanjiri orang ramai bagi mendapatkan burger percuma yang diagihkan pada pukul 6 petang tadi.

Agihan burger percuma itu sebagai meraikan kepulangan ‘Mat Tere’ dengan selamatnya ke kampung selepas dibebaskan kelmarin.

Pemilik KB Burger Bakar, Adni Hazimee Adnan, 27, berkata, sebanyak 1,500 burger percuma diagihkan kepada pelanggannya selama dua jam bermula pukul 6 petang hingga 8 malam.

“Sambutannya agak luar biasa. Orang ramai mula beratur seawal jam 5.15 petang lagi walaupun agihan burger percuma ini bermula pada pukul 6 petang,” katanya ditemui hari ini.

Adni Hazimee memberitahu, peruntukan bagi mengagihkan burger percuma itu adalah sebanyak RM10,000 hingga RM13,000.

Sementara itu, Mat Tere atau nama sebenarnya Muhammad Zul Apiz Baharum, 29, meluahkan rasa terharu di atas sambutan tersebut.

“Terima kasih kepada pemilik restoran KB Burger Bakar. Saya berasa terharu, sepanjang hidup saya tidak pernah diraikan dengan semeriah ini,” katanya.

Mat Tere ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kelantan Rabu lalu sebelum dibawa ke IPK Johor bagi membantu siasatan berhubung video kata-kata kesat menghina Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menjadi tular di Facebook baru-baru ini.

Dia kemudiannya dibebaskan selepas Tunku Ismail menitahkan supaya Mat Tere dibebaskan setelah dipercayai lelaki itu diperalatkan oleh pihak tertentu yang sengaja mahu mencetuskan suasana tidak harmoni.

Malah, Mat Tere dibawa pulang ke kampungnya dengan menaiki kenderaan yang disediakan oleh pihak Istana Johor bagi memastikan dia sampai ke negeri Kelantan dengan selamat. – 14 Februari 2017.