RM90 Juta: Pemuda PAS Cabar Husam Dedah Nama Penerima

Datuk Husam Musa dicabar supaya mendedahkan individu yang telah menerima dana RM90 juta daripada UMNO sebagaimana dakwaannya sebelum ini.

Memetik laporan sebuah portal berita online, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sekiranya Husam di pihak yang benar beliau perlu mengemukakan bukti berhubung tuduhan tersebut.

“Saya cabar beliau menamakan individu yang telah menerima dana tersebut dan tidak membuat tohmahan liar.

“Sebagai pemegang jawatan di dalam PAS saya menegaskan tuduhan tersebut tidak benar dan ia hanya bertujuan untuk merosakkan nama baik parti (PAS),” katanya.

Baru-baru ini, menerusi ceramahnya Husam dilaporkan mendakwa bahawa duit yang diterima PAS dari UMNO sebanyak RM90 juta sebagaimana didedahkan Sarawak Report disalurkan melalui sebuah bank tempatan iaitu Affin Bank.

Terdahulu, Sarawak Report mendakwa PAS menerima RM90 juta dari UMNO.

Ekoran itu, PAS mengugut akan menyaman laman yang berpusat di London itu namun sehingga kini difahamkan hanya notis awal dikemukakan oleh parti itu tetapi belum memfailkan sebarang saman lagi terhadap laman tersebut.

Menerusi ceramahnya itu juga Husam berkata, pihaknya akan terus mendedahkan perkara itu menjelang pilihan raya umum akan datang.

Pada Ogos tahun lalu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa Sarawak Report berbohong kononnya pimpinan tertinggi PAS menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. – 14 Februari 2017.