SPRM Kaji Semak Profil Penerima Gelaran Datuk, Datuk Seri

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memperinci keperluan untuk menjalankan semakan profil penerima gelaran Datuk atau Datuk Seri di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, SPRM akan menjalankan saringan jika diminta berbuat demikian daripada pihak kerajaan negeri atau Pusat yang bertanggungjawab menganugerahkan pingat dan gelaran.

“Kami akan melakukan saringan terhadap nama calon untuk gelaran jika diminta,” katanya selepas melakukan lawatan mengejut ke beberapa agensi kerajaan di Kompleks Perhentian Kajang hari ini.

Beliau diminta mengulas penahanan empat pemimpin akar umbi bergelar Datuk dan Datuk Seri yang terlibat dalam kegiatan samseng dan jenayah terancang tahun ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu telah mengarahkan pengarah SPRM untuk menjalankan pemeriksaan mengejut dan tinjauan mesra di negeri masing-masing. – 14 Februari 2017.