Bicara Saman Fitnah Najib, Tony Pua 18 Hingga 20 September

Kes saman fitnah yang difailkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dibicarakan pada 18 hingga 20 September.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Roslan Abu Bakar, menetapkan tarikh itu dalam prosiding yang berlangsung di kamarnya hari ini dengan dihadiri peguam Nor Hazira Abu Haiyan yang mewakili Najib dan Alliff Benjamin Suhaimi bertindak bagi pihak Pua.

Alliff Benjamin yang ditemui pemberita berkata, mahkamah juga menetapkan 3 April bagi mendengar permohonan Pua untuk membatalkan saman Najib.

Najib, atas kapasiti peribadinya, memfailkan saman fitnah itu pada 5 Mac tahun lalu dengan menamakan Pua, 43, sebagai defendan pertama dan pemilik portal Mediarakyat.net, Chan Chee Kong, 52, sebagai defendan kedua berhubung isu 1MDB.

Najib selaku plaintif dalam pernyataan tuntutannya berkata, pada 13 November 2014, Pua sebagai penceramah utama pada jamuan malam kutipan dana DAP telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengenai 1MDB.

Najib berkata, rakaman ucapan itu telah dimuat naik oleh Chan sendiri dan atau ejennya dalam laman YouTube Mediarakyat dan laman sesawang Mediarakyat yang didakwa menggunakan tajuk berunsur fitnah.

Menurutnya, rakaman ucapan itu mengandungi perkataan yang merujuk dan berkaitan dengan dirinya dan memfitnahnya serta individu dikenali sebagai ‘perdana menteri’ dan semestinya merujuk secara spesifik kepada dirinya (Najib).

Beliau berkata, penerbitan perkataan fitnah itu telah merosakkan reputasinya kerana rakaman ucapan itu boleh diakses secara meluas dan mudah di seluruh dunia melalui internet, blog, forum dan laman web tanpa sebarang sekatan dan boleh dikongsi semula. – 15 Februari 2017.