Perumahan Ganti Setinggan Di Kota Bharu Kata PAN

Sebanyak 17 keluarga di tengah bandar Kota Bharu hidup dalam keadaan naif dengan rumahnya berupakan gubuk usang dan di bawah rumahnya dipenuhi limpahan air.

Lebih menyedihkan, penghuninya adalah warga emas yang menghidap sakit strok.

Penasihat PAN Kelantan, Datuk Husam Musa mendedahkan situasi itu hasil tinjauannya baru-baru ini.

“Semak samun bagaikan rimba kecil dan bau yang tidak menyenangkan. Mak cik dan pak cik terkena strok, yang lain dengan keuzuran yang amat sangat.

“Seorang dari mereka, berkeadaan strok dengan gubuk dari zink bersaiz kecil tidak mempunyai apa-apa pendapatan. Gubuknya tidak mempunyai bilik air,” katanya.

Husam memberitahu, warga emas terbabit juga terpaksa menumpang tandas surau berhampiran kerana gubuk usangnya tidak mempunyai kemudahan itu.

“Hajatnya ditunaikan di tandas surau. Berjalan tanpa selipar. Bertongkat. Terlihat susahnya beliau untuk bergerak.

“Sudah sekian lama penduduk kampung cuba mendapatkan bantuan membina tandas di sebelah gubuknya. Tetapi hajat si uzur ini tidak kesampaian,” katanya menerusi status yang dimuat naik dalam Facebooknya.

Justeru, beliau berjanji sekiranya PAN diberi peluang mentadbir Kelantan, setinggan di tengah bandar Kota Bharu akan digantikan dengan perumahan yang selesa.

“InsyaAllah, jika diizinkan Amanah (PAN) mentadbir Kelantan, setinggan di tengah bandar Kota Bharu akan ditempatkan dengan perumahan selesa yang sesuai dengan mereka. Ia tidak mustahil. Kepekaan pemimpin adalah kuncinya,” katanya. – 15 Februri 2017.