Kastam Kelantan Rampas 41,000 Karton Rokok Seludup, Cukai Bernilai RM4.7 Juta

Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 41,000 karton rokok seludup pelbagai jenama membabitkan cukai keseluruhan berjumlah RM4.7 juta.

Rampasan itu dibuat dalam dua serbuan berasingan pada Rabu dan Jumaat lepas iaitu di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Ajil, Terengganu dan di Pulau Tokang, Tumpat Kelantan.

Timbalan Pengarah Kastam Kelantan, Rosli Mohamad berkata, serbuan pertama pada Rabu lalu pihaknya merampas 10,500 karton rokok membabitkan cukai berjumlah RM1.18 juta.

“Manakala dalam serbuan kedua berhampiran tebing Pulau Tokang kita berjaya merampas tiga buah bot pepeh yang mengandungi 30,600 karton rokok.

“Rampasan kedua ini membabitkan cukai berjumlah RM3.5 juta dan merupakan yang terbesar setakat ini,” katanya. – 16 Februari 2017.