MDPP Bayar Insentif Perpindahan Kepada Peniaga

Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) meminta seramai 564 peniaga pasar lama berpindah ke pasar baharu selewat-lewatnya 1 Mac depan.

Malah, MDPP menyediakan peruntukan sebanyak RM63,000 sebagai insentif perpindahan kepada peniaga.

Yang Di Pertua MDPP, Mohd. Anis Hussin berkata, insentif berupa wang tunai itu akan diberi kepada peniaga runcit kering dan pakaian sebanyak RM150 seorang manakala peniaga lain akan menerima RM100 yang melibatkan 45 peniaga runcit kering dan 87 peniaga pakaian.

“Manakala seramai 452 peniaga ayam, daging, ikan, sayur, buah-buahan, peniaga lambak, makanan masak dan kering serta lain-lain akan menerima insentif yang sama.

“Insentif itu bagi membantu meringankan beban peniaga berpindah ke pasar baharu,” katanya kepada pemberita di Pasir Puteh, Kelantan semalam.

Mohd. Anis berkata, kerjasama antara peniaga dan MDPP amat penting bagi mencapai hala tuju pembangunan bandar sebagaimana yang dirancang.

Beliau berkata, segala isu berbangkit boleh diselesaikan secara berhemah dalam usaha menghidupkan suasana bandar demi kebaikan semua pihak.

“Kami sentiasa mendengar luahan peniaga dan mencari pendekatan yang terbaik bagi memberi keselesaan serta tidak membebankan peniaga,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini ini seramai 127 peniaga telah menandatangani surat perjanjian untuk berpindah.

Pada 14 Januari lepas lebih 500 peniaga pasar lama mengadakan demonstrasi aman di perkarangan pasar baharu Pasir Puteh bagi membantah spesifikasi kemudahan pasar berkenaan selain meminta tempoh pemindahan dilanjutkan.

Difahamkan pasar baharu tersebut tidak sesuai dengan keperluan peniaga kerana saiznya dikatakan terlalu kecil selain kadar sewa yang dikenakan terlalu tinggi. – 16 Februari 2017.