Nekad Seorang Wanita Kejar Peragut Berakhir Tragedi Maut

Nekad seorang wanita mengejar peragut berakhir tragedi apabila menemui ajal selepas terlanggar tiang di Kampung Pak Elong, Tangok, Bachok semalam

Dalam kejadian pada pukul 8.15 pagi itu, mangsa ragut Siti Rohani Wahab, 45, dipercayai meninggal dunia ditempat kejadian apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas dan merempuh tiang elektrik ketika mengejar peragut.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Telong, Kandis menuju ke tempat kerja sebagai pembantu tukang masak di kafe Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok.

Menurutnya, dalam perjalanan mangsa didatangi seorang suspek bermotosikal yang kemudian meragut beg duit mangsa.

“Mangsa kemudian bertindak mengejar suspek sehingga 800 meter dari lokasi kejadian dan dalam kelajuan tinggi itu mangsa gagal mengawal motosikalnya sehingga  terlanggar tiang elektrik,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Tambahnya, mangsa disahkan menimggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Sehubungan itu, Din menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Beliau berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ). – 16 Februari 2017.