Ahli Geng Curi Motosikal Dicekup

Polis berjaya menahan 12 pemuda termasuk lima pelajar sekolah menengah yang disyaki menganggotai dua geng curi motosikal yang aktif melakukan kegiatan jenayah itu di sekitar jajahan Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang sejak tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Ibrahim Saad berkata, sembilan suspek merupakan anggota Geng Shahmi manakala baki tiga lagi suspek merupakan anggota Geng Sulong.

“Kita percaya Geng Shahmi dianggotai 10 individu. Jadi masih ada seorang lagi suspek yang sedang diburu.

“Sementara itu, Geng Sulong pula kita percaya dianggotai lapan individu. Jadi masih ada lima lagi suspek yang sedang diburu,” katanya dalam sidang akhbar di Pasir Mas.

Ibrahim memberitahu, lima pelajar yang ditahan kesemuanya berusia 16 tahun dan merupakan anggota Geng Shahmi.

Sementara itu katanya, suspek lain yang ditahan pula berusia antara 17 hingga 26 tahun.

“Penangkapan kesemua suspek juga membawa kepada rampasan enam buah motosikal yang masih elok.

“Selain itu, kita turut menemukan empat buah rangka motosikal yang dibuang dalam beberapa buah sungai di Bakat dan Pangkalan Rakit,” katanya.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan 414 Kanun Keseksaan. – 17 Februari 2017.