PAS Jemput Semua Hadir Himpunan RUU 355

PAS mengalu-alukan semua pihak tanpa mengira fahaman politik hadir ke Himpunan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) di Padang Merbok, Kuala Lumpur esok.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob berkata, himpunan tersebut bukan satu perarakan yang akan menimbulkan kekacauan, sebaliknya untuk menyatakan sokongan kepada usaha memartabatkan mahkamah syariah yang mana semua pihak perlu menghormati kedudukannya.

“Kita tidak ada masalah sama ada UMNO atau PPBM untuk sepentas memberi sokongan kepada undang-undang jenayah mahkamah syariah. Kita bukan berarak tetapi akan duduk berhimpun dan mendengar nasihat pimpinan.

“Silalah datang ke perhimpunan ini jika kita sayang dan hormat kepada mahkamah syariah,” katanya selepas majlis pelancaran Kutipan Derma Akaun Amanah Kebajikan Darulnaim (Tabung Serambi Mekah) 2017 di Dewan Teratai Kompleks Kota Darulnaim.

Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan memberitahu, berdasarkan perkembangan terkini, sasaran 300,000 peserta himpunan tidak mustahil dicapai.

Dalam masa sama beliau menjelaskan, tujuan utama perisytiharan cuti peristiwa Ahad ini di Kelantan adalah sebagai langkah menjaga keselamatan peserta perhimpunan yang datang dari negeri ini.

“Kita mahu menjaga nyawa rakyat, kita tidak mahu mereka tergesa-gesa pulang kerana perlu bekerja pada Ahad sehingga berlaku kejadian tidak diingini di jalan raya.

“Semua yang hadir juga perlu berhimpun secara aman dan menghormati peraturan dan undang-undang,” katanya. – 17 Februari 2017.