Perkasa Bebas Sertai Himpunan RUU 355

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memberi sokongan penuh terhadap apa jua usaha yang bertujuan memartabatkan Islam.

Sehubungan itu, pertubuhan itu memberi kebebasan kepada seluruh ahlinya untuk menyertai Himpunan Rang Undang-Undang (RUU) 355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur, esok.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, Kalau RUU 355 boleh membantu memperkasakan Islam, Perkasa akan beri sokongan.

“Kita berpendirian bahawa ahli Perkasa bebas hadir ke himpunan tersebut atas nama Islam,” katanya selepas majlis sidang meja bulat NGO-NGO Kelantan.

Himpunan yang diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur esok dijangka bakal dihadiri kira-kira 200,000 orang tanpa mengira fahaman parti politik.

Pengarah Himpunan 355, Nasrudin Hassan dilaporkan berkata, himpunan yang akan bermula pukul 2 petang dan berakhir 11 malam itu menampilkan seramai 21 pemidato terdiri daripada tokoh serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, antara tokoh yang akan hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Presiden Pas yang juga Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. – 17 Februari 2017.