Kuatkuasa Seksyen 39C ADB 1952 Insafkan Penagih

Polis Kelantan akan menguatkuasakan peruntukan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi memberi pengajaran dan keinsafan kepada penagih tegar bertaubat sekali gus menjauhi tabiat menagih.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr. Ab. Rahman Ismail berkata, mengikut rekod penagih yang berulangkali ditangkap hanya dituduh di bawah Seksyen 15(1) ADB menyebabkan mereka sering mengulangi tabiat yang lama.

Menurutnya, setiap penagih yang ditangkap selepas ini akan diteliti rekod lampau sebelum pertuduhan dijalankan.

“Sekiranya telah memiliki dua rekod lampau dibawah Seksyen 15(1) ADB, penagih terbabit perlu didakwa dibawah Seksyen 39C akta yang sama.

“Jika disabitkan kesalahan penagih terbabit boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan tiga kali sebatan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Ab. Rahman berkata, arahan ini telah dimaklumkan kepada semua Ketua Jabatan Jenayah Narkotik seluruh daerah untuk diberi penegasan dalam misi membanteras gejala dadah. – 18 Februari 2017.