Majlis Pimpinan Gabungan NGO-NGO Kelantan Hadapi PRU-14

Sebanyak 28 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negeri Kelantan sebulat suara bersetuju menubuhkan Majlis Pimpinan Gabungan NGO-NGO Kelantan yang bakal menjadi penggerak kepada masyarakat dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, majlis tersebut diwujudkan bagi membantu pengundi membuat pilihan tepat dalam memilih parti yang bakal memerintah Kelantan pada pilihan raya nanti.

Katanya, mereka berpendapat, parti yang memerintah Kelantan pada masa ini masih gagal membawa perubahan di negeri itu.

“Kita lihat Kelantan masih di takuk lama meskipun negeri ini kaya dengan pelbagai hasil bumi dan keindahan budaya. Namun sampai sekarang, Kelantan masih bergantung kepada hasil kayu balak selain terus menzalimi Orang Asli.

“Sudah tiba masannya, kita mengambil peranan membantu pengundi membuat pilihan agar tidak lagi tertipu dengan pelbagai janji ketika pilihan raya,” katanya selepas mempengerusikan sidang meja bulat NGO-NGO Kelantan.

Dalam pada itu, katanya, majlis tersebut juga sedia mempertimbangkan hasrat untuk menyediakan calon bebas bersatu sebagai alternatif kepada pengundi pada PRU-14.

“Calon yang bakal diketengahkan itu terdiri daripada rakyat Kelantan termasuk Orang Asli yang bersedia menjadi calon bebas,” katanya. – 18 Februari 2017.