Orang Asli Juga Perlu Diberi Perhatian Kata Perkasa Kepada Kerajaan PAS Kelantan

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa Kerajaan PAS Kelantan agar memandang serius isu melibatkan Orang Asli selain segera menghentikan aktiviti pembalakan di kawasan Hulu Kelantan.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, kerajaan pimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob itu juga perlu berhenti daripada terus mengeluarkan hujah bahawa aktiviti pembalakan di Kelantan adalah ‘halal’ kerana penduduk Orang Asli sudah jemu dengan alasan tersebut.

“Kezaliman atau penindasan terhadap Orang Asli khususnya di Kelantan perlu segera dihentikan kerana mereka juga manusia yang perlu diberikan layanan sebaiknya,” katanya selepas majlis ceramah perdana berhubung isu-isu semasa dan pembalakan di hadapan Stesen Kereta Api Pasir Mas.

Serentak dengan itu, Ibrahim turut melancarkan kempen tandatangan membantah aktiviti pembalakan yang memusnahkan alam sekitar dan menyekat kezaliman terhadap masyarakat Orang Asli.

Sementara itu, Perkasa turut menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja mengenai Orang Asli yang bakal bertanggungjawab membantu masyarakat tersebut daripada dizalimi.

Katanya, suruhanjaya tersebut seterusnya akan berperanan mengenal pasti sebarang masalah berbangkit termasuk memperjuangkan kepentingan tanah-tanah adat milik Orang Asli.

“Kita berjuang apabila rakan di Palestin ditindas, kita sering kali bersifat simpati dengan nasib Etnik Rohingya. Situasi itu sama juga dengan kaum Orang Asli yang menetap di dalam hutan sejak berpuluh tahun, mereka juga perlu diberikan perhatian,” katanya. – 18 Februari 2017.