JMPKAPA Adakan Sesi Penerangan RUU 355

Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JMPKAPA) akan mengadakan sesi penerangan mengenai Rang Undang-Undang (RUU) 355 bagi mengelak salah faham dan rasa tidak puas hati dalam kalangan bukan Islam.

Pengerusinya, Datuk Azman Amin Hassan berkata, program penerangan itu penting kerana terdapat sesetengah pihak cuba menimbulkan ketegangan dan mengaut keuntungan politik daripada pindaan akta tersebut.

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menganjurkan seminar sehari melibatkan pemimpin-pemimpin pelbagai agama bagi tujuan itu.

“Kita tidak mahu masyarakat hari ini terpesong dengan apa yang disebarluaskan dalam media sosial sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dengan pindaan yang akan dibentang,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra Sempena Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama di Dewan Tok Kenali, Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Kelantan.

Sementara itu katanya, masyarakat bukan Islam mempunyai persepsi agak negatif terhadap RUU 355 kerana sebaran maklumat tidak tepat daripada golongan yang sengaja mahu menimbulkan ketegangan.

“Kita mendapati sebaran dalam media sosial terutamanya telah mencetuskan rasa tidak puas hati kalangan bukan Islam mengenai RUU 355,” katanya. – 19 Februari 2017.