Bukan Pecutan Akhir – Annuar

Biro Penerangan UMNO akan memulakan siri jelajah ke seluruh negara pada 25 Februari ini bagi menangkis dakwaan dan isu-isu yang dibangkitkan pembangkang, termasuk kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia.

Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa berkata, siri itu bagaimanapun bukan pecutan akhir bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya rasa politik adalah maraton jarak jauh, bukan larian 100 meter. Jadi belum sampai tahap pecutan akhir.

“Tapi apa yang penting adalah kesiapsiagaan kita berada di tahap terbaik sepanjang masa,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Penerangan UMNO Pusat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Dalam pada itu, beliau enggan mengulas lanjut mengenai jangkaan tarikh PRU-14 dan sambil berseloroh berkata  “Itu kena tanya Perdana Menteri. Apa yang pasti pilihan raya umum sebelum pertengahan 2018 mengikut Perlembagaan negara”.

Beliau berkata, antara tumpuan utama yang akan diberi menerusi siri jelajah tersebut adalah  penubuhan pasukan khas bagi menyiasat kerugian urus niaga Forex Bank Negara sekitar  1990-an.

“Ada orang timbulkan keraguan mengapa (isu) forex perlu disiasat, dan mengapa tidak 1MDB. Ia kehilangan sebenar tapi tidak pernah disemak dan disiasat.

“Ada orang cuba nak menimbulkan kesangsian itu kerana ramai putar belit, jadi kita perlu beri penjelasan,” kata Annuar.

Jelas Annuar, isu Forex ini perlu disiasat kerana ia berbeza dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di mana negara  kehilangan berbilion ringgit melibatkan Bank Negara, sebuah agensi kerajaan.

“Berbeza dengan 1MDB kerana ia bukan agensi kerajaan, tetapi syarikat berkaitan kerajaan yang menggunakan RM1 juta dana kerajaan dan lainnya menggunakan pinjaman,” katanya.

Malah Annuar berkata, 1MDB sudah melalui proses siasatan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Peguam Negara dan laporan Ketua Audit Negara.

“Namun isu forex tidak pernah dibuat laporan atau kajian, setidak-tidaknya untuk mengetahui kelemahan supaya ada garis panduan kejadian sama tak berulang.

“Apa jua keputusan kabinet selepas laporan itu siap, ia hal lain. Kita tetap menyokong keputusan kerajaan dan tidak akan buka ruang kepada pihak yang cuba timbulkan keraguan terhadap keputusan itu,” katanya.

Kabinet baru-baru ini bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas untuk menjalankan siasatan awal mengenai kerugian urus niaga forex itu. – 20 Februari 2017.