Galakkan Orang Melayu Berfikiran Kritis, Zaid Tidak Perlu Masuk DAP

Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, Datuk Zaid Ibrahim tidak perlu memberi alasan masuk DAP semata-mata untuk menggalakkan orang Melayu berfikiran kritis dan rasional.

Beliau berkata, alasan tersebut tidak relevan kerana DAP parti platform orang Cina.

“Oleh kerana wujud sekelompok Melayu yang jumud pemikiran dan gaya hidup keAraban, tak bererti semua Melayu bodoh dan tidak kritis serta berfikiran rasional,” katanya.

Difahamkan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sebelum ini mendakwa orang Melayu berdepan sindrom tidak lagi mahu berfikir secara rasional.

Bagaimanapun tegas Shamsul, sindrom yang dimaksudkan itu bukanlah penyakit dalam kalangan orang Melayu sahaja, malah ada pimpinan DAP juga jumud dan ternyata rasis secara ‘buta’.

Beliau yang juga Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, walaupun memilih DAP, tidak semestinya Zaid terlepas daripada golongan jumud dan rasis dalam parti itu.

“Yang menariknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  DAP bertindak keluar parti beramai-ramai kerana pimpinan DAP dikatakan tidak berprinsip, Zaid pula dengan gembiranya masuk DAP untuk bersama pimpinan DAP yang dianggap oleh orang DAP sebagai tiada prinsip,” katanya. – 20 Februari 2017.