Rabbani, Pusat Dakwah Jeli Kembang Dakwah Menerusi Hiburan

Kumpulan nasyid Rabbani mengembangkan dakwahnya menerusi medium hiburan dengan kerjasama Pusat Dakwah Jeli (PDJ) di Kelantan.

Ketua kumpulannya, Azadan Abdul Aziz berkata, program dikenali ‘Bersama Rabbani’ itu akan diadakan setiap dua atau tiga bulan sekali sepanjang tahun ini membabitkan peserta kanak-kanak, belia dan golongan dewasa kawasan Parlimen Jeli.

“Agenda dakwah Rabbani bersama PDJ mula tercetus selepas kira-kira 100 ahli kariah mengikuti kuliah agama mingguan di situ menyertai pakej umrah dan ziarah menerusi agensi Rabbani Travel & Tours Sdn. Bhd. November ini.

“Malah PDJ adalah lokasi pertama di Kelantan yang terpilih bagi menjalinkan kerjasama itu selepas Kedah, Selangor dan Pahang,” katanya ditemui semasa mengunjungi PDJ hari ini.

Rabbani merupakan kumpulan nasyid tanah air terkenal dengan lagu-lagu berunsur dakwah. – 20 Februari 2017.