Tidak Salah Himpunan RUU 355 Bermotifkan Politik

Himpunan RUU 355 yang dianjurkan PAS Sabtu lepas tidak salah jika sekalipun ia bermotifkan politik, kata Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Bekas Menteri Kabinet itu berkata, ia kerana demi kepentingan umat Islam sejagat.

“Bukan jadi kesalahan kalau buat sesuatu bermotifkan politik sebab politik itu adalah soal kepentingan rakyat. Jangan pandang negatif,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Penerangan UMNO Pusat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dr. Mahathir mendakwa perhimpunan di Padang Merbok (Himpunan RUU) berniat untuk memancing undi rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Sebelum itu, beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berpendapat Malaysia tidak perlu mempunyai dua set undang-undang kerana ia akan dilihat berat sebelah.

Annuar berkata, himpunan itu perlu diadakan bagi memberi penjelasan kepada rakyat mengenai usul Rang Undang-undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 yang akan dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat, Mac ini.

“Saya percaya matlamat mereka untuk menunjukkan solidariti terhadap usaha memperkasakan mahkamah syariah. Saya fikir kesedaran itu patut dibuat sebab ada orang kata ia (pindaan akta) sebagai hudud dan macam-macam lagi.

“Oleh kerana usul itu akan ke parlimen tak lama lagi, saya fikir masyarakat perlu penjelasan yang melibatkan pentadbiran hal ehwal Islam. Saya fikir ia usaha yang perlu dihormati,” katanya. – 20 Februari 2017.