Bai’ah Cerai Talak Tiga PAS Terbatal – Husam

Bai’ah cerai talak tiga wakil rakyat PAS yang melompat parti terbatal, kata bekas exco kanan kerajaan PAS Kelantan, Datuk Husam Musa.

Husam berkata, beliau mempunyai fatwa jelas berhubung perkara itu termasuk fatwa dari Ikhwanul Muslimin Sudan, Majlis Fatwa negara Mesir dan lain-lain pihak lagi.

“Saya akan siarkan fatwa yang pertama iaitu fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Perlis kerana ia telah disebut oleh YB Nasaruddin (Datuk Nasaruddin Daud – Exco Agama kerajaan negeri Kelantan),” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Tegasnya, wakil rakyat PAS yang bersumpah dengan bai’ah itu menjelang pilihan raya umum lalu tidak terikat dengan bai’ah tersebut dan boleh bila-bila masa keluar dari parti itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Husam menuntut PAS Kelantan membuat permohonan maaf kerana menggunakan namanya dalam ceramah PAS yang bertajuk ‘Husam lari dari debat bai,ah’  malam tadi.

“Saya cadang PAS Kelantan minta maaf dengan saya kerana guna nama saya. Menteri Besar yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Ahmad Yakub patut minta maaf kepada saya,” katanya.

Ceramah PAS yang bertajuk ‘Husam lari dari debat bai,ah‘ di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Kota Bharu malam tadi kecoh apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, itu tiba-tiba muncul di atas pentas tersebut.

Tindakan Husam yang naik ke atas pentas tersebut dan duduk bersama pemimpin PAS telah mencetuskan kemarahan penyokong tegar parti itu.

Kekecohan tersebut bermula apabila salah seorang penyokong datang ke hadapan pentas mencabar bekas Naib Presiden PAS itu berdebat di hadapan mereka.

Ketika itu Nasuruddin sedang memberi ucapan berhubung tindakan Husam yang mengkhianati bai’ah dan menyertai PAN.

Dalam masa yang sama, sekumpulan penyokong PAS mula ke depan pentas untuk bersua dengan Husam bagaimanapun dihalang oleh anggota Unit Amal PAS.

Ekoran daripada itu, Husam dibawa keluar daripada pentas bagi meredakan kemarahan penyokong PAS terhadap Husam.

Husam muncul kira-kira pukul 11.00 malam ketika Yang Dipertua PAS Kawasan Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh sedang memberi ucapan.

Mengulas lanjut Husam berkata, telah menulis surat kepada Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS untuk memohon salinan minit mesyuarat bagi mengesahkan apakah badan tetinggi PAS itu meluluskan kalimat-kalimat dalam bai’ah tersebut.

Katanya, minit tersebut penting baginya untuk persiapan debat antara beliau dengan Nasruddin mengenai Bai’ah. – 21 Februari 2017.