Bekas KSU KKLW, Anak Lelaki Dituduh Rasuah

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman dan anak lelakinya yang dituduh dalam kes rasuah masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini.

Mereka dituduh bersubahat dan menerima rasuah berjumlah RM550,000 membabitkan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Untuk Sistem Solar Hibrid di empat buah pulau terpencil di Sandakan Sabah secara rundingan terus bernilai RM57 juta kepada syarikat Eramas (M) Sdn Bhd.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Arif didakwa bersubahat, manakala anak lelakinya, Ahmad Zukhairi, dituduh menerima suapan wang tunai RM550,000 daripada pengarah syarikat Wazlina Sdn. Bhd., Mohd Safian Mohd Salleh.

Suapan itu adalah sebagai upah untuk Mohd. Arif dan Ahmad Zukhairi melakukan transaksi membabitkan kementerian itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Jalan Cenderamulia, di sini antara jam 4 petang dan 7 petang 23 Ogos tahun lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seskyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah suapan.

Hakim Azura Alwi membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin masing-masing sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A S Thangavelu manakala kedua-dua tertuduh diwakili sepasukan peguam diketuai Datuk Salehuddin Saidin. – 21 Februari 2017.