Ceramah ‘Husam Lari Baiah’ Kecoh

Ceramah PAS yang bertajuk ‘Husam lari dari debat bai,ah ‘ di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Kota Bharu malam tadi kecoh apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa tiba-tiba muncul di atas pentas tersebut.

Tindakan Husam yang naik ke atas pentas tersebut dan duduk bersama pemimpin PAS telah mencetuskan kemarahan penyokong tegar parti itu.

Kekecohan tersebut bermula apabila salah seorang penyokong datang ke hadapan pentas mencabar bekas Naib Presiden PAS itu berdebat di hadapan mereka.

Ketika itu, Ketua Penerangan PAS negeri, Datuk Nasuruddin Daud sedang memberi ucapan berhubung tindakan Husam yang mengkhianati bai’ah dan menyertai PAN.

Dalam masa yang sama, sekumpulan penyokong PAS mula ke depan pentas untuk bersua dengan Husam bagaimanapun dihalang oleh anggota Unit Amal PAS.

Ekoran daripada itu, Husam dibawa keluar daripada pentas tersebut bagi meredakan kemarahan penyokong PAS terhadap bekas Exco Kanan Kerajaan PAS Kelantan tersebut.

Husam muncul kira-kira pukul 11.00 malam ketika Yang Dipertua PAS Kawasan Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh sedang memberi ucapan.

Bagaimanapun keadaan kembali tenang apabila Husam meninggalkan ceramah tersebut.

Wan Ismail dan Nasuruddin tidak berhenti membelasah Husam biarpun menyedari bekas pemimpin mereka itu turut berada di atas pentas.

Ceramah tersebut dikatakan diadakan bagi menjelaskan kepada penyokong parti itu bahawa Husam telah menolak cabaran debat yang dibuat oleh Nasuruddin ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini. – 21 Februari 2017.