Husam Sengaja Cetus Provokasi, Tindakan Tidak Profesional

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa dan penyokongnya dilihat sengaja cuba mencetuskan provokasi dengan hadir pada ceramah yang bertajuk ‘Husam lari dari debat bai’ah’ di perkarangan Stadium Sultan Muhammad di Kota Bharu malam tadi.

Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan Husam itu dilihat cukup tidak profesional apabila cuba menggangu majlis PAS.

“Apabila dia (Husam) datang berada di atas pentas meminta untuk berucap, kami (penganjur) tidak boleh benarkan sesiapa individu di luar berucap. Kalau kita beri kebenaran kami akan disalahkan sepenuhnya.

“Sebab itu kami mengambil keputusan untuk tidak membenarkan dia berucap. Apabila berlaku provokasi, kita amat kesal dan menganggap ini sebagai tindakan tidak profesional iaitu datang ganggu majlis orang dan minta berucap,” katanya selepas program ceramah tersebut malam tadi.

Ceramah yang berlangsung malam tadi kecoh apabila Bekas Naib Presiden PAS itu tiba-tiba muncul di atas pentas tersebut.

Tindakan Husam yang naik ke atas pentas tersebut dan duduk bersama pemimpin PAS telah mencetuskan kemarahan penyokong tegar parti itu.

Kekecohan tersebut bermula apabila salah seorang penyokong datang ke hadapan pentas mencabar Husam berdebat di hadapan mereka.

Ketika itu Nasuruddin sedang memberi ucapan berhubung tindakan Husam yang mengkhianati bai’ah dan menyertai PAN.

Mengulas lanjut Ahmad Fadhli berkata, beliau tidak menyangka seorang pemimpin yang pernah berada dalam kerajaan negeri itu sanggup melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan. – 21 Februari 2017.