Husam Tidak Serius Debat Bai’ah

Sesi debat antara Ketua Penerangan PAS negeri, Datuk Nasuruddin Daud dan Datuk Husam Musa sepatutnya berlangsung sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu benar-benar serius dan tidak memberi pelbagai alasan.

Ahli Jawatankuasa PAS negeri, Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, pelbagai alasan yang diberikan Penasihat PAN Kelantan itu menyebabkan debat tersebut tertangguh.

Nik Bahrum yang juga wakil debat Nassuruddin berkata, sepanjang empat kali mesyuarat berlangsung wakil Husam masih belum dapat menetapkan tarikh, tempat dan masa sesi debat tersebut.

“Pada 21 November kita terima surat tawaran berdebat daripada Datuk Husam, Datuk Nassuruddin balas balik pada 23 November. Mesyuarat pertama diadakan pada 14 Disember 2016, cuma tak dapat tentukan tarikh pada hari itu kerana wakil Datuk Husam minta untuk dapatkan persetujuan bertulis daripada parti.

“Kemudian, mesyuarat kedua diadakan pada 27 Disember, parti tak boleh keluarkan surat bertulis tapi secara lisannya parti tak ada bantahan terhadap debat tersebut,” katanya selepas ceramah Husam lari dari debat baiah malam tadi.

Mengulas lanjut, Nik Bahrum berkata, bagaimanapun ketika pihaknya cuba mendapatkan tarikh rasmi, sekali lagi mereka didatangkan dengan sepucuk surat daripada Husam yang ingin mendapatkan persetujuan agar teks debat berkenaan diterjemahkan dalam Bahasa Arab.

“Surat itu juga bagi mendapatkan tarikh untuk berjumpa ulama terkenal dunia, Dr Yusuf Al-Qaradawi.  Selain debat hanya boleh diadakan pada malam Sabtu atau Ahad tanpa dinyatakan tarikh tepat kerana wakil Datuk Husam tak boleh dapatkan kepastian daripadanya berikutan beliau berada di luar negeri.

“Jadi, kita boleh kata Husam lari dari debat sebab sentiasa ada alasan daripadanya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Nik Bahrum berkata, Husam perlu mengemukakan cabaran baru jika berhasrat meneruskan debat baiah bersama Nassuruddin.

“Tempoh kita hingga akhir Januari. Kalau nak buat juga kena cabar balik dan akan ditentukan oleh mesyuarat semula. Tapi saya tak dapat bagi jaminan,” katanya. – 21 Februari 2017.