Jelajah TN50 Bermula 24 Februari Ini

Jelajah Tranformasi Nasional 2050 (TN50) di setiap negeri akan bermula 24 Februari ini dengan Sabah menjadi negeri pertama.

Siri jelajah itu bagi mengumpul pandangan dan aspirasi anak muda dengan memfokuskan tujuh bidang yang telah dikenal pasti.

“Sebanyak tujuh bidang fokus dikenal pasti untuk perbincangan dalam jelajah itu iaitu nilai murni, urus tadbir, persekitaran, pendidikan, pekerjaan, gaya hidup dan Malaysia di pentas global.

“Bagi memperhalusi dan merumus aspirasi dengan lebih mendalam, kita akan mengadakan sesi dialog Kumpulan Masa Depan TN50 bermula Mac hingga September ini,” kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Beliau memberitahu, siri jelajah seterusnya akan diteruskan ke Terengganu pada 27 Februari, Johor (3 Mac), Perak (8 Mac), Sarawak (11 Mac) dan negeri-negeri lain tarikhnya akan ditentukan kelak.

Pada masa sama beliau berkata, Persidangan TN50 turut akan diadakan bermula April hingga September bagi membentang dan mendebatkan aspirasi dan sasaran yang dibangunkan oleh Kumpulan Masa Depan TN50.

“Sepanjang Februari hingga Oktober tahun ini, kita juga akan mengadakan Dialog Kecil TN50 dengan pelbagai segmen belia, termasuk pembabitan badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan wanita, golongan kurang upaya dan perajurit.

“Kita turut akan mengadakan dialog TN50 bersama individu, persatuan dan komuniti berteraskan tema yang diminati bermula Mac hingga September ini,” katanya. – 21 Februari 2017.