Cagaran Tambahan, Apa Maksud AKSB?

“AKSB (Air Kelantan Sdn. Bhd.) berat penat dah…Ada ke patut dalam bil bulan Februari ini ada tercatat CAGARAN TAMBAHAN sebanyak RM55”.

Demikian keluh seorang pelanggan AKSB ketika minum pagi di sebuah warung kopi. Nadanya agak keras.

Mana tidaknya, jika sebelum ini dia hanya perlu membayar caj semasa sekitar RM11 hingga RM20 sebulan, tapi bulan ini, selain kena bayar caj semasa itu dia wajib bayar CAGARAN TAMBAHAN, menjadikan bil bagi Februari mencecah sehingga RM60 dan ada yang RM80.

Itulah nasib pelanggan AKSB, terpaksa akur dengan segala keputusan walau dari dalam perut panas membara api kemarahan dan kekecewaan. Kalau tak bayar, mereka berdepan dengan tindakan pemotongan meter. Kalau meter kena potong, jawabnya air yang meleleh akan tak ada langsung.

Betapa mudahnya kerajaan Islam Kelantan nak kaut keuntungan dari rakyat. Setakat nak kutip RM2 juta atau RM5 juta sebulan memang cukup senang.

Duduk depan komputer, hanya guna jari sahaja, programkan perkataan CAGARAN TAMBAHAN dan tulis angka RM55 dalam setiap mesin pengiraan air.

Maka pekerja pembaca meter pun pergi ke setiap rumah, tengok meter dan tekan butang enter, maka keluarlah bil yang lengkap dengan jumlah yang perlu dibayar beserta jumlah cagaran tambahan, yang juga wajib dibayar.

Namun, apa yang peliknya ada juga pengguna merungut jumlah bil bulan ini melambung sampai lima kali ganda. Sebelum ini tak pernah dengar pun sebarang kenyataan atau pengumuman kadar air akan dinaikkan.

Begitu juga, sampai sekarang kerajaan negeri atau Exco berkaitan dengan air tidak menjelaskan kepada rakyat, apa maksud CAGARAN TAMBAHAN.

Kalau pentadbiran kerajaan PAS Kelantan betul-betul melaksanakan Islam, mereka tak akan kutip ‘duit sembunyi’ ini tanpa beritahu akan maksud CAGARAN TAMBAHAN.

Lagi pun, selama ini pengguna tidak pernah berpuas hati dengan AKSB. Perkhidmatan yang disediakan memang ke laut. Kalau ada air, airnya berkarat. Kalau air molek sikit, datangnya bertitik titik. Selalunya banyak angin dari air.

Sepanjang 26 tahun PAS perintah Kelantan, tidak pernah rakyat dapat rasai perkhidmatan air dengan sempurna. Ada-ada sahaja kemaslahatannya, terutama musim perayaan. Tak kiralah Aidilfitri ke, Aidiladha ke, Tahun Baru China ke, Thaipusam ke, air mesti bermasalah.

Kadang-kadang terfikir juga apa yang ada dalam kepala otak pemerintah Kelantan ini, lebih-lebih lagi Exconya. Tak terfikirkah mereka, kalau selalu mengundang masalah kepada rakyat, esok Allah akan tanya? Dan akan berdepan dengan seksaan azab api neraka?

Tapi mustahil mereka tak fikir begitu, kerana mereka mendakwa merekalah yang lebih Islam berbanding pemerintah negeri lain.

Sekarang pengguna AKSB dalam dilema. Di mana nak cari duit untuk bayar sebanyak jumlah yang tercatat pada bil. Sedangkan, hari ini mereka berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi akibat kenaikan petrol, kenaikan harga barangan dan cukai GST lagi.

Kerajaan PAS Kelantan di bawah Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob kena berfikir pasal rakyat. Bukan ulang alik ke pejabat dari rumah dengan kereta besar, makan besar, lepas tu duduk dalam bilik berhawa dingin.

Duit gaji puluhan ribu. Campur dengan macam-macam elaun, mahu cecah ratusan ribu sebulan. Tentulah tak merasa keperitan hidup yang rakyat di bawah rasa hari-hari.

Bila rakyat merunggut, pemimpin kata, naik pun sikit saja. Kerajaan beri bantuan itu, bantuan ini. Tapi mana bantuan yang kerajaan katakan itu? Tak pernah nampak dan tak pernah sampai ke tangan.

Kalau sekadar memberi alasan begitu, sesiapa boleh memerintah negeri. Tapi ingatlah. Rakyat ada Allah. Kepada Allah rakyat mengadu. Allah Maha Mendengar, Allah Maha Penyayang. Tunggulah azab Allah nanti.

Kamu mungkin senang di dunia, rakyat susah di dunia. Esok, kamu akan susah di akhirat dan rakyat akan senang di sana. Kalau yang jahil agama boleh cakap begini, apatah lagi kamu yang hari-hari bercakap pasal Islam.

Maknanya, kalau cakap saja Islam, buatnya tidak, kamu terimalah balasannya nanti.

Jadi, beritahulah kepada rakyat, apa CAGARAN TAMBAHAN itu. Untuk apa dan apa tujuannya. Jangan pakai masuk saja dalam bil, sedangkan rakyat tak tahu menahu apa tujuannya.

Sepatutnya kerajaan Islam itu berasa malu kepada rakyat sebab gagal sediakan bekalan air yang lebih sempurna dan berusaha untuk meningkatkan kualiti dan kuantitinya, tapi makin meragam pula dengan paksa rakyat bayar lebih.

Nampaknya, kerajaan PAS Kelantan ini tak pernah perit dengan desakan rakyat pasal perkhidmatan air yang lemah. Malah ditambahkan lagi bebanan di bahu rakyat.

Kesian rakyat Kelantan.