Dr. Mahathir Disaran Belajar Asas Agama

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad disaran supaya kembali mempelajari asas Islam selepas menuduh Himpunan Rang Undang-undang 355 yang diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur baru-baru ini sebagai mainan politik.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, bekas Perdana Menteri itu seorang yang sudah lanjut usia dan sepatutnya kembali ke pangkal jalan.

Katanya, parti itu akan sentiasa fokus pada perjuangan untuk memperkasa Mahkamah Syariah menerusi usaha pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016 ke peringkat Parlimen.

“Saya kira Dr. Mahathir patut belajar semula asas Islam. Dr. Mahathir juga kena belajar balik, kalau betul hendak baiki negara, hendak menewaskan UMNO, mengapa perlu serang kita.

“Kita tidak akan melayan sebarang bentuk provokasi daripada Dr. Mahathir ini,” katanya.

Dr. Mahathir dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini menuduh Himpunan Rang Undang-undang 355 yang dihadiri ribuan umat Islam di Padang Merbok sebagai platform PAS untuk meraih undi.

Bekas Presiden UMNO itu dilaporkan berkata, tujuan himpunan itu adalah mendapatkan sokongan terhadap usaha pindaan Rang Undang-Undang 355 menjadi salah apabila ia bercampur aduk dengan kepentingan politik.

Dalam masa sama, Dr. Mahathir juga menolak usul penambahbaikan itu yang merangkumi hukuman penjara sehingga 30 tahun, denda RM100,000 dan sebatan syariah tidak lebih 100 kali.

Mengulas lanjut Ahmad Fadhli berkata, Himpunan Rang Undang-undang 355 yang dihadiri ribuan rakyat baru-baru ini membuktikan sokongan orang Islam terhadap usaha memperkasakan Mahkamah Syariah begitu kuat.

“Sokongan itu juga memberi isyarat kepada mereka yang tidak setuju terhadap usaha ini. Jelas bahawa masyarakat Islam ini pada bila-bila masa akan bersatu,” katanya.
– 22 Februari 2017.