‘Kalau Orang Panggil Kenduri, Pergi Hari Kenduri’ Kata Mohd. Amar Kepada Husam

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah membidas tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa yang dilihat cuba mencetuskan provokasi apabila muncul pada program ceramah PAS.

Katanya, Penasihat PAN Kelantan itu sepatutnya sedar kehadirannya yang cuba mencetuskan provokasi itu boleh mencetuskan ketegangan antara penyokong.

“Saya tidak tahu apa tujuanya, cuma bagi saya tidak sepatutnya berlaku. Kita sudah bagi tarikh, masa sesuai untuk tujuan debat tersebut (bai’ah).

“Kalau orang panggil kenduri, kena pergi hari kenduri, kalau pergi hari lain, akan menjadi masalah,” kata Mohd. Amar semasa ditemui di pejabatnya hari ini.

Beliau berkata, daripada satu sudut, tindakan Husam itu seolah-olah beliau sengaja cuba ingin mencari publisiti murahan.

Ceramah bertajuk ‘Husam lari dari debat bai’ah’ yang berlangsung di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV baru-baru ini kecoh apabila Husam muncul di atas pentas tersebut dan duduk bersama pemimpin-pemimpin PAS sehingga mencetuskan kemarahan penyokong tegar parti itu.

Kekecohan tersebut dikatakan bermula apabila salah seorang penyokong datang ke hadapan pentas meminta Husam berdebat di hadapan semua yang hadir.

Dalam masa yang sama, sekumpulan penyokong PAS mula ke depan pentas untuk menuju ke arah Husam bagaimanapun dihalang oleh anggota Unit Amal parti tersebut.

Ekoran daripada itu, Husam dibawa keluar daripada majlis tersebut bagi meredakan kemarahan penyokong PAS terhadap bekas Exco Kanan Kerajaan PAS Kelantan itu. – 22 Februari 2017.