PAS Dijangka Berpecah Lagi

PAS akan berpecah lagi, itu jangkaan bekas Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berdasarkan situasi semasa hubungan PAS dan UMNO yang dilihat semakin akrab.

“Satu kekuatan yang saya pelajari dengan PAS (dahulu), sekiranya pemimpin itu dilihat benar-benar rapat dengan erti kata lain tidak menganggap UMNO sebagai musuh mereka, PAS akan berpecah lagi.

“Saya berani menyatakan PAS akan berpecah dalam beberapa bulan akan datang,” katanya yang kini Timbalan Presiden  PAN.

Namun jelasnya, perkara itu mungkin sukar untuk diterima oleh penyokong dan ahli parti kerana melibatkan soal dasar.

Dalam pada itu, Salahuddin tidak menolak kekuatan PAS dari segi keahlian tetapi ia tidak menjamin kemenangan dalam pilihan raya.

Ia kerana katanya, sejarah telah membuktikan PAS tidak boleh bersendirian untuk menang melainkan bekerjasama dengan DAP serta PKR.

“Pas memang tiada masalah mengumpulkan ahli dalam ceramah besar, tetapi dalam pilihan raya, belum tentu menang. Bila masa PAS menang?

“Hadi (Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) jadi menteri besar, apabila terima Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai sahabat. PAS menang 27 kerusi Parlimen, ketika PAS berkawan dengan DAP dan PKR,” katanya. – 22 Februari 2017.