Audi Q7 – Khairuddin Kata Dia Mampu, Boleh Juga Beli Lori Atau Kapal Terbang

Selepas tular isu pemberian kereta mewah kepada isteri, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali tampil mempertahankan hak dan kemampuannya untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, itu adalah isu kecil yang sengaja diperbesar-besarkan bagi mengalih perhatian terhadap Rang Undang-Undang Syariah (RUU 355) yang telah menjadi pertikaian banyak pihak.

“Ini adalah isu kecil. Saya mempunyai hak untuk membeli apa-apa yang saya mahu. Saya juga boleh membeli sebuah lori atau kapal terbang, ia bukan urusan mereka,” katanya memetik laporan sebuah portal online.

Baru-baru ini tular di laman media sosial apabila pengguna Facebook Datin Norhayati Abd. Malek, dipercayai isteri Khairuddin yang memuatnaik gambar kereta Audi Q7 bernilai setengah juta ringgit sebagai hadiah daripada suaminya.

Tambah Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, beliau membeli kereta tersebut dengan menggunakan sumber yang sah.

Dalam pada itu, beliau menyelar pengguna media sosial yang memilih dan suka memperbesar-besarkan isu tersebut. – 23 Februari 2017.