Kerjasama Dengan UMNO Satu Fitnah, PAN Akan Lapor Polis

PAN Kelantan akan membuat laporan polis berhubung dakwaan kononnya parti itu mengadakan rundingan sulit dengan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke – 14 (PRU14).

Pengerusinya, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah menyifatkan, dakwaan tersebut sebagai fitnah besar yang boleh menjejaskan kredibiliti PAN.

“Saya menafikan membuat rundingan sulit dengan UMNO Kelantan sebagaimana dakwaan yang disebarkan di laman sosial.

“Tiada sebarang perundingan atau pertemuan dengam mana-mana pimpinan UMNO Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Dakwaan kononnya PAN Kelantan telah mengadakan rundingan sulit dengan UMNO bagi menghadapi PRU14 menjadi tular di laman media sosial sejak semalam.

Rundingan tersebut bagi menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan dan menaikkan UMNO dan PAN di negeri itu.

Wan Abdul Rahim berkata, pihaknya akan membuat satu laporan polis berhubung perkara itu hari ini.

“Kita akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan seterusnya mengambil tindakan lanjut,” katanya. – 23 Februari 2017.

*Berikut adalah petikan tulisan berkaitan dakwaan tersebut yang ditulis oleh individu yang mengaku sebagai penganalisis UMNO Kelantan yang menjadi tular di laman media sosial semalam.
Ramai yang bertanya kepada saya apa itu “tukar kelantan”.

TUKAR KELANTAN adalah satu agenda sulit gabungan beberapa parti politik yang didalangi Umno Kelantan, Amanah, Dap dan Pkr serta beberapa Ngo termasuk Samm dan Royalti untuk menjatuhkan Pas Kelantan dan menaikkan UMNO dan Amanah.

Beberapa siri perjumpaan sulit antara pimpinan Umno, Amanah, Pkr dan Dap telah diadakan di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan bagi membincangkan strategi ampuh untuk menawan Kelantan dari Pas.

Umno tahu tanpa bantuan Amanah adalah amat sukar untuk Umno menawan Kelantan.

Begitu juga dengan Amanah. Tanpa bantuan dari Umno adalah amat mustahil Amanah mampu menawan Kelantan.

Jadi kerjasama ini sangat penting. Strategi serangan telah diatur disamping agihan kerusi dalam Dun Kelantan termasuk 4 kerusi Exco diperuntukkan kepada Amanah jika Umno menang.

Persetujuan agihan 45 kerusi Dun Kelantan antara Umno dan Amanah turut dibincangkan dalam beberapa siri pertemuan di Kelantan.

Jutaan ringgit juga telah disalurkan oleh pimpinan Umno Kelantan kepada beberapa orang pimpinan tertentu dari Amanah untuk gerak kerja sulit ini.

Kami amat berharap impian Umno dan Amanah untuk menawan Kelantan tercapai. Inilah impian kami dari Umno selama lebih 20 tahun. Tanpa bantuan Amanah cita-cita kami tidak akan tercapai. Doakan kejayaan kami.

HENTIKAN PERBALAHAN, JALINKAN KERJASAMA. KELANTAN MILIK UMNO PRU 14.

Percanggahan pendapat antara pimpinan UMNO KELANTAN berhubung cadangan kerjasama yang sedang dijalankan oleh pimpinan tertentu UMNO Kelantan dengan PARTI AMANAH NEGARA ( AMANAH) semakin membarah.

Ada diantara Ketua Umno Bahagian mula menyuarakan ketidak puas hati berkaitan kerjasama yang bakal dibentuk oleh Umno Kelantan di bawah pimpinan Datuk Seri Mustafa Muhamad dengan Pengerusi Amanah Kelantan yang dipimpin Dato Wan Rahim WAN Abdullah untuk menawan Kelantan dari Pas.

Antara pimpinan Umno yang melahirkan kekecewaan atas kerjasama yang bakal dibentuk ialah Setiausaha Umno Negeri Kelantan merangkap Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat, Setiausaha BN Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad, Ketua Wanita Umno negeri, Datuk Rahimah Mahammad, Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman, Ketua Wanita Umno Bahagian Pasir Mas, Datin Shuhanie Deraman, Ketua Pemuda Umno bahagian, Nor Azmawi Ab Rahman dan Ketua Puteri Umno bahagian, Wan Harinawati Wan Daud.

Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah, ada berkata beliau pernah mengemukakan cadangan dalam beberapa siri perjumpaan bersama pemimpin Umno Kelantan pada beberapa bulan lalu untuk membentuk gagasan kerjasama dengan UMNO Kelantan bagi menghadapi PAS dalam Pru 14 akan datang.

Katanya, secara peribadi beliau tidak mahu melihat Kelantan terus diperintah oleh Kerajaan PAS yang korup dan bermasalah.

“Sebenarnya, saya sudah tidak dapat menunggu lebih lama lagi mengenai cadangan untuk bekerjasama dengan UMNO bagi menghadapi PAS.

“Kerjasama ini tidak bermakna kita tidak bertanding. Ada tempat kita letak calon dan UMNO akan bantu kita, ada tempat kita ( AMANAH) akan bantu UMNO.

“Namun, saya pun tidak boleh tunggu terlalu lama dan rasa sudah tidak boleh tahan (sabar) kerana sehingga kini tiada sambutan balas daripada pemimpin UMNO negeri ini.

Tetapi persoalannya mampukah UMNO Kelantan menawan Kelantan tanpa bantuan Amanah setelah 25 tahun menjadi pembangkang di Kelantan?
Dalam politik tidak ada yang mustahil. Apa yang penting ialah pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan sedia buka ruang perbincangan dan menjalin kerjasama dengan AMANAH bagi mencapai matlamat yang sama.

Mereka juga perlu berusaha memperkukuhkan kedudukan UMNO Kelantan serta sedia menjalin kerjasama dengan AMANAH dan dengan meninggalkan segala perangai buruk dan sikap pentingkan diri yang selama ini menjadi penghalang utama kemaraan UMNO untuk menumbangkan Pas di Kelantan.

Oleh itu pemimpin yang terlibat perlu berubah sikap demi masa depan UMNO di Kelantan. Mereka sepatutnya lebih berfikiran terbuka dan lebih bersedia membuka ruang perbincangan bersama AMANAH atas tujuan yang sama iaitu kembali memerintah Kelantan.

Untuk UMNO kembali memerintah Kelantan bukanlah sesuatu yang aneh atau pelik, tetapi yang aneh atau pelik ialah jika tiada usaha dijalankan untuk menjalinkan kerjasama bagi mencapai kemenangan biarpun sejarah membuktikan Pas boleh dikalahkan.