Muktamar Tentukan Hubungan PAS – PKR

Kerjasama politik PAS dan PKR sama ada akan diteruskan atau sebaliknya hanya akan ditentukan pada muktamar tahunan parti itu di Kedah April ini.

Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, status kerjasama dengan PKR yang mempunyai hubungan rapat dengan PAN dan DAP itu dijangka menjadi perkara utama akan dibangkitkan oleh perwakilan pada muktamar nanti.

Beliau berkata, secara prinsipnya, PAS masih bertahaluf siyasi dengan PKR dan ianya masih kekal pada masa ini.

“Bergantung pada muktamar akan datang (hubungan PAS dan PKR). Kalau muktamar merasakan perlu dikaji semula atau kekal, terpulanglah pada keputusan nanti.

“Segala hasrat akar umbi akan disuarakan pada muktamar dan hubungan dengan PKR dijangka antara topik akan dibangkitkan,” katanya.

Baru-baru ini Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu bakal mengkaji semula hubungan dengan PKR selewat-lewatnya pada muktamar tahunan di Kedah pada April ini.

Dalam masa sama, Abdul Hadi turut memberikan ‘isyarat’ kerjasama antara parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mungkin tidak direalisasikan berdasarkan hubungan semasa PPBM membabitkan DAP serta PAN, meskipun wujud perbincangan sebelum ini.

Penjelasan Abdul Hadi terhadap hubungan dengan PKR itu memberi gambaran jelas bahawa tiada ruang untuk PAS berkompromi soal kerjasama membabitkan parti-parti pembangkang yang mempunyai hubungan dengan DAP serta PAN. – 23 Februari 2017.