Nautical Aliya Selamat Tiba Di Tanah Air

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (depan tiga, kiri) menyambut ketibaan sukarelawan misi bantuan kemanusiaan 'Food Flotilla for Myanmar' pada majlis menyambut ketibaan pulang mereka ke tanah air di Boustead Cruise Centre hari ini. Turut hadir Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (depan dua, kiri).-Foto Bernama.

Kapal Nautical Aliya yang membawa misi kemanusiaan ‘Food Flotilla For Myanmar’ tiba di Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang pada kira-kira 10 pagi ini.

Ketibaannya disambut oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta anggota keluarga 183 sukarelawan misi berkenaan yang menunggu sejak pukul 8 pagi.

Kapal berkenaan berlepas keluar dari Pelabuhan Klang pada 3 Februari lalu membawa 2,300 tan makanan dan barang keperluan untuk etnik Rohingya di Myanmar dan pelarian Rohingya di Bangladesh.

Ia berlabuh di pelabuhan Yangon pada 9 Februari dan menurunkan sebahagian daripada barang bantuan itu dan kemudiannya meneruskan perjalanan ke pelabuhan Chittagong pada 14 Februari untuk menurunkan keseluruhan barang bantuan itu di sana.

Bantuan di Bangladesh itu adalah untuk diagihkan di tiga kem pelarian di Kutupalong, Cox’s Bazar dan Teknaf dengan bantuan Persatuan Bulan Sabit Merah Bangladesh dan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migran (IOM).

Misi anjuran Kelab Putra 1Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia itu merangkumi wakil pertubuhan bukan kerajaan dari Malaysia dan negara luar, pasukan perubatan, tenaga pengajar dan wartawan. – Bernama, 23 Februari 2017.