Kenyataan Khairuddin Hanya Memburukkan Keadaan, Lebih Baik Isytihar Harta

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali dinasihat supaya mengisytiharkan harta bagi mengelak persepsi negatif orang ramai dalam isu kereta Audi Q7 yang menjadi tular di laman sosial.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr. Mujahid Yusof berkata, ia adalah langkah terbaik agar segala tuduhan dan tohmahan dapat dinilai secara telus dan bertanggungjawab.

“Nasihat saya kepada MP Kuala Nerus agar segeralah isytiharkan harta saudara supaya tidak memburukkan nama baik ahli parlimen.

“Kepada rakan yang lain tanpa kontroversi pun eloklah dibuat istyhar harta dan pendapatan,” katanya yang juga Naib Presiden PAN.

Khairuddin, yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS terdedah dengan isu kereta Audi Q7 selepas menghadiahkan kereta mewah bernilai setengah juta itu kepada isterinya.

Isu tersebut menjadi tular di laman media sosial selepas isterinya memuat naik pemberian atau hadiah kereta itu di Facebooknya.

Bagaimanapun, sambil menyifatkan perkara tu sebagai isu kecil, Khairuddin mempertahankan hak dan kemampuannya untuk berbuat demikian.

“Ini adalah isu kecil. Saya mempunyai hak untuk membeli apa-apa yang saya mahu. Saya juga boleh membeli sebuah lori atau kapal terbang, ia bukan urusan mereka,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh sebuah portal berita online.

Bagi Mujahid, kenyataan Khairuddin bahawa ‘beliau mampu dan berhak membeli apa sahaja’ hanya memburukkan keadaan dan tidak menyelesaikan masalah.

Tambahnya, sebagai seorang wakil rakyat kehidupan peribadi sering diperhatikan dari sudut tingkahlaku dan gaya hidup termasuk kehidupan berkeluarga.

Katanya, rakyat lebih suka melihat wakil rakyatnya bersederhana selain tidak sombong dengan kedudukan termasuk tingkahlaku isteri dan anak-anaknya. – 24 Februari 2017.